Latar belakang P-51_Mustang

P-51 banyak melakukan tugas sebagai pesawat pengiring pada pesawat pengebom Pihak Berikat dalam serangan ke atas Jerman. Pesawat ini digunakan bagi membantu Pihat Berikat menguasai ruang udara sejak awal 1944. Pesawat ini juga digunakan secara terhad dalam menentang Jepun dalam Perang Pasifik. Semasa Perang Korea, pada awalnya pesawat Mustang digunakan sebagai pesawat pejuang utama oleh pasukan tentera Pertubuhan Bangsa Bersatu, tetapi kemudian diperanankan sebagai sebuah pesawat serangan darat apabila peranannya sebagai pesawat pejuang digantikan dengan pesawat jet. Bagaimanapun, pesawat ini terus digunakan oleh beberapa angkatan tentera udara lain sehingga awal 1980-an.

Selain ekonomik, pesawat Mustang juga merupakan sebuah pesawat yang pantas, tahan lama serta baik buatan. Versi terakhir pesawat ini iaitu P-51D, dijana oleh enjin Packard V-1650-7, dengan alat penambah kuasa (supercharger) 2 tahap-2 kelajuan 12-silinder yang dibina oleh Packard berdasarkan enjin lagenda Rolls-Royce Merlin, dan dipasang dengan enam mesingan Browning M2/AN berkaliber 12.7 mm, satu versi mesingan Browning yang diguna untuk dipasang pada pesawat tempur.

Selepas Perang Dunia II dan Perang Korea, banyak pesawat Mustang telah diubahsuai untuk kegunaan awam terutamanya bagi perlumbaan udara. Reputasi Mustang sangat terkenal sehingga pada pertengahan 1960-an, pereka di Ford Motor Company John Najjar telah mencadangkan nama Ford Mustang bagi model terbaru kereta dua pintu model Ford.[2]